Kejujuran
KEJUJURAN
adalah tanda bukti keimanan. Orang mukmin pasti jujur. Kalau tidak jujur,
keimanannya sedang diserang penyakit munafik.
Suatu ketika
seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah mungkin seorang mukmin
itu kedekut?”
Baginda
menjawab: “Mungkin saja.” Sahabat bertanya lagi: “Apakah mungkin seorang mukmin
bersifat pengecut?” Rasulullah SAW menjawab: “Mungkin saja.” Sahabat bertanya
lagi: “Apakah mungkin seorang mukmin berdusta?” Rasulullah SAW menjawab:
“Tidak.” (HR Imam Malik dalam kitab Al-Muwaththa’)
Apa yang
boleh dipelajari daripada hadis ini ialah seorang
mukmin tidak mungkin melakukan pembohongan.
Kejujuran
adalah pangkal semua perbuatan baik manusia. Tidak ada perbuatan dan ucapan
baik kecuali kejujuran.
Oleh sebab
itu, Allah menyuruh orang-orang mukmin agar selalu berkata benar dan berlaku
jujur. Ini diperintah oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
Hai
orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah
perkataan yang jujur dan benar. (al-Ahzab: 70)
Rasulullah
SAW bersabda:
“Kamu semua
wajib bersikap jujur kerana kejujuran akan membawa kepada kebaikan dan kebaikan
akan membawa kepada syurga”. (HR Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Hibban)
Kejujuranlah
yang menjadikan Ka’b bin Malik mendapat keampunan langsung dari langit
sebagaimana Allah jelaskan dalam surah at-Taubah. Kejujuranlah yang
menyelamatkan bahtera kebahagiaan keluarga dan kejujuran pulalah yang
menyelamatkan seorang Muslim daripada seksa api neraka di kemudian hari.
Kejujuran
adalah tiang agama, sendi akhlak, dan pokok kemanusiaan manusia. Tanpa
kejujuran, agama tidak lengkap, akhlak tidak sempurna, dan seorang manusia
tidak sempurna menjadi manusia.
Di sinilah
pentingnya kejujuran bagi kehidupan. Rasulullah SAW bersabda:
“Tetap
berpegang eratlah pada kejujuran. Walau kamu seakan-akan melihat kehancuran
dalam berpegang teguh pada kejujuran, tapi yakinlah bahwa di dalam kejujuran
itu terdapat keselamatan.” (HR Abu Dunya)
Ada tiga
tingkatan kejujuran :
- Pertama, kejujuran dalam ucapan, iaitu kesesuaian ucapan dengan realiti.
- Kedua, kejujuran dalam perbuatan, iaitu kesesuaian antara ucapan dan perbuatan.
- Ketiga, kejujuran dalam niat, iaitu kejujuran tertinggi di mana ucapan dan perbuatan semuanya hanya untuk Allah.
Seorang
mukmin tidak cukup hanya jujur dalam ucapan dan perbuatan, tapi harus jujur
dalam niat sehingga semua ucapan, perbuatan, tindakan dan keputusan harus
berlandaskan mencari keredaan Allah.
Jelaslah
kejujuran memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Islam yang ingin
mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Seorang yang
jujur tidak akan berdolak-dalik apatah lagi bermain kata-kata apabila
berhadapan dengan sesuatu perkara.
Jika dia
berada di pihak yang benar sudah pasti dia tidak akan takut untuk menzahirkan
kejujuran atas keyakinan bahawa kebenaran pasti mengalahkan kebatilan.
Kejujuran
inilah yang mendorong Umar Ibnul-Khattab memiliki tanggung jawab luar biasa
dalam memerintah khilafah Islamiyah sehingga pernah berkata, “Seandainya ada
seekor keledai terperosok di Baghdad (padahal beliau berada di Madinah), pasti
Umar akan ditanya kelak: “Mengapa tidak kau ratakan jalan untuknya?”
Bangsa yang
tak henti-hentinya diterpa musibah dan krisis sangat memerlukan manusia-manusia
jujur, baik dalam ucapan, perbuatan, mahupun niat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar